Thursday, April 30, 2009

Abah

Merenung luar jendela
Memerhati sepasang kasut buruk
Hitam pekat, berhabuk
Palitan lumpur pada kasut
Tanda memori panjang
Tak mungkin aku lupa
Si pemakainya
Manusia berhati mulia berjiwa besar
Dengan kasut buruk
Keluar menggalas harapan
Bawa pulang Kantung rezeki
Terima Kasih abah...
Al-Fatihah

yus_anakmelayu(1 May 2009)
Untuk seorang "kakak"

Wednesday, April 29, 2009

Kerana Aku Seorang Mahasiswa

Kerana aku seorang mahasiswa
Akanku ragut buah ketakutan
Dalam tangkai hati
Agar aku bisa jadi berani
Umpama saif yang sentiasa mara

Kerana aku seorang mahasiswa
Inginku rantai setan kemalasan
Yang merasuk benak akal
Agar aku bisa jadi sajid yang setia
Bersunyi-sunyi hanya untukNya

Kerana aku seorang mahasiswa
Pasti akanku lemaskan rasa ego
Yang berenang pada kerendahan hati
Agar aku bisa jadi pemimpin
Menelusur jiwa marhaen

Kerana aku seorang mahasiswa
Biarlah aku tentukan sendiri
Lima tahun lagi siapa aku ini
Seorang petani atau penguasa
Seorang guru atau tentera
Yang pasti aku mahasiswa punya rasa
Untuk jadi orang berguna

Tuesday, April 28, 2009

"Ma"

Assalamualaikum... Entah mengapa apabila membaca sajak "Milah Anak Maksum" karya Prof. Rahman Shaari, hati aku menangis. Bagi aku, mana-mana yang bernama manusia pasti akan tersentuh bila bicara soal ibu. "Ma", izam mintak ampun dan maaf kalau apa yang izam lakukan selama izam hidup telah memalit aib pada "Ma" dan "Pa". Izam mintak ampun kalau izam tak mampu jadi anak yang terbaik sebagaimana yang "Ma" impikan. Izam mintak ampun kalau izam tak dapat tatap wajah "Ma" setiap hari. Tapi "Ma", percayalah... izam tak pernah lupa walau sekalipun untuk mendoakan kesejahteraan "Ma" dan "Pa" setiap kali izam sujud padaNya. Percayalah, Izam tak pernah sekalipun lupa untuk mencium gambar "Ma" sebelum tidur dan sebelum ke mana-mana. Percayalah, izam dah cuba untuk jadi anak yang terbaik, yang sntiasa ingat pesan "Ma". Izam dah bertekad dalam hati, izam nak bela, nak jaga "Ma" dan "Pa" bila izam dah kerja nanti. Izam nak cium "Ma" dan "Pa" hari-hari setiap kali izam pergi dan pulang dari kerja. Izam nak lakukan segala-galanya untuk "Ma". "Ma", izam sayang akan "Ma". Terima kasih "Ma" dan... Selamat Hari Ibu untuk "Ma"ku, Fatimah Binti Osman.

Bila Kerusi Mula Bersuara

Andai kerusi mampu bersuara
Pasti laungan bergema
Jangan kaucuba berada di atasku!
Andai bangsa kau rogol
Bahasa kau lacurkan
Agama kau lelong

Andai kerusi mampu bersuara
Laungan bergema lagi
Jangan kau menghampiriku!
Tanganmu bersalut rasuah
Matamu mengalir maksiat
Telingamu bertindik fitnah

Andai Kerusi mampu bersuara
Jeritan kian memuncak
Kau bukan untukku!
Amanah kau ragut
Keadilan kau cabut
Keamanan kau pagut

Andai kerusi mampu bersuara
Hilai tangis pasti bersama
Mengapa kau masih berdegil?
Inginkan aku sedang kau kotor
Perlukan aku sedang kau khianat
Aku berjanji
Selagi bahasa kau abai
selagi bangsa kau gulai
Selagi Agama kau salai
Selagi itu aku tak merelakan

yus_anakmelayu (11 april 2009)

Suara Bahasa

Keroyok semua ke satu matlamat
Apa yang ada?
Menarik ribuan manusia
Jalan-jalan jadi sesak
Aku ditengah-tengah mereka!

Satu jam sebelumnya
Sogo seperti biasa
Punya pelanggan dan peniaga
Juga penghuni kaki lima

kemudian tiba gergasi biru
Berperisai menggerunkan
Membuncah hatiku
Bimbang jadi sasaran
Orang sebelah ikut gundah

Entah dari mana
Laungan takbir bergema
Allahuakhbar! Allahuakhbar!
Pelik tapi benar
Pelanggan Sogo jadi pejuang
Sama sama bergerak
Sama-sama sepakat
Ke satu matlamat
Masjid Negara kita berjumpa!

Pada mula aku hanya semut
Kini aku raksasa
Berani mengaplus ketakutan
Pengecut menjadi pahlawan!

Semua gara-gara bahasa
Penentu hidup mahawangsa
Tua, muda, miskin, kaya
Satu suara,seirama, senada
Parasit budaya perlu diseka

Aku? Aku bangga
Aku juga pencipta sejarah bangsa!

yus_anakmelayu (15 April 2009)
Mengimbau kenangan manis 7 Mac 2009
disembur pemedih mata =)

Abuh Hati

Abuh hati mengingat peristiwa semalam
Saat bangsa dipijak kaki petualang
Pemimpin pengabur wang marhaen
Pemimpin abar kemajuan murbawan
Pemimpin virus alamiat jelata

Abuh hati mengingat peristiwa semalam
Saat Islam jadi dagangan
Agamawan berbaju kemewahan
Agamawan berkasut kesenangan
Agamawan bercelana pembohongan

Abuh hati mengingat peristiwa semalam
Saat bahasa dinafi hak dan nilai
Pejuang bahasa dipenggal suaranya
Pejuang bahasa ditetak kuasanya
Pejuang bahasa disekat langkahnya

Abuh hati mengingat peristiwa semalam
Tidak seperti hari-hari sebelumnya
Tidak lagi seperti zaman bahari
Ketika Melayu bergelar mahawangsa
Alangkah indahnya jika aku jadi sejarah
Hidup di zaman purbakala
Biar tidak berteman komputer
Asal bangsa diangkat mulia

yus_anakmelayu (29 April 2009 - 12:17 - Dayasari)

Monday, April 6, 2009

???

antara kayu dan emas
kita sentiasa mengejar emas
kayu? Ah! kering tak bernilai
Biarkan saja di tepi rumah
atau di celah longkang

Emas! Emas! Emas!
Tiada siapa yang menolak kesenangan
kemilau emas kemilau jualah senyumku
tak mungkin berganti kedudukanmu

Kayu kau dilupakan
Teringat zaman dulu kala
Tika aku dibesarkan
Sebutir nasi yang masuk
hasil dari kekeringanmu membakar
membakar, mendidih, dan menanak.
Teringat ketika malam
Engkau aku bakar
Semua itu dulu
Aku kini bukan dulu
Aku tak perlu semua itu
Mengenang kepayahan bukan caraku
Bukankah gembira itu sentiasa menunggu?

Monday, March 30, 2009

Seorang Tua Sendiri

Di satu sudut
Di bangku panjang
Seorang tua terbaring

Di satu sudut
Di bangku panjang
Seorang tua sendiri

Di satu sudut
Di bangku Panjang
Seorang tua termenung

Terbaring, sendiri, termenung
Bertanya dengan diri
Mengapa aku di sini
Tanpa anak dan isteri
Hanya bangku panjang menemani

Seminit, sejam, sehari
Orang tua mula mengerti
Ini angkara globalisasi
anak dan isteri dirasuki
mengejar duniawi mementing diri
akhirnya melempar aku ke sini

Sungguh kejam globalisasi
Atas nama sains dan teknologi
Si polan si polan menggadai budi
Budaya dan agama tak bererti lagi
Nanti binasa muda dan mudi

Sekonyong tiba seorang pemuda
Menyapa si tua ramah dan mesra
Bertanya di mana anak bini
Masakan dibiar ayahanda di sini
Tidakkah ada rasa simpati

Tanpa dipinta
Embun suci terbit membanjiri mata
Mengenang diri terbiar merata
Namun dalam diri si tua ini
Kuntuman bunga kembang kembali
Masih ada manusia berbudi
Berpaksi akhlak bersulam tradisi
Pergilah anak pergilah isteri
Kamu bukan apa-apa bagiku lagi
Asalkan masih ada si manusiawi

yus_anakmelayu(27 Mac 2009/12:44 AM)

Monday, March 23, 2009

Bangku Buruk Itu

Bangku buruk itu
Padanya terselit seribu rasa
Pahit, manis, duka dan gembira
Dicorakkan pada keusangannya
Berwarna hitam sarat pengalaman

Pernah satu ketika
Bangku buruk itu
Menjadi alas berehat
Seorang pujangga bahasa
Dalam mengenang anak bangsa

Kata sang pujangga sendiri
Bangsaku kini alpa diri
Asyik mengendong globalisasi
Terlupa bahasa ibunda dinodai

Bahasaku kini kata pujangga
Umpama kamu kerusi buruk
Hanya tempat melabuhkan punggung
Tanpa ada niat untuk diagung
Nanti binasa akan diusung

Kata pujangga lagi
Usahlah kamu risau sendiri
Aku akan sentiasa menemani
Mengundang tawa tika sepi
Kerana aku meyakini dengan setulus hati
Tanpa kamu, tiada aku di sini.

yus_anakmelayu (22 mac 2009)

Monday, March 16, 2009

Festival APM di Utusan

DALAM NEGERI

ARKIB : 14/03/2009
Kesal Melayu lebih selesa budaya Barat
KUALA LUMPUR 13 Mac - Kelangsungan budaya Melayu dan tradisinya di negara ini boleh tergugat sekiranya orang Melayu taksub dengan cara hidup Barat.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, rakyat negara ini terutama orang Melayu sendiri kini dilihat tidak lagi membudayakan warisan Melayu.
''Seharusnya budaya Melayu dimartabatkan dalam usaha untuk memperkenalkan dunia Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.
''Langkah tersebut selaras dengan kedudukan penggunaan bahasa Melayu pada masa ini sebagai bahasa keempat tertinggi di dunia," katanya pada Festival Akademi Pengajian Melayu 2009 anjuran Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Mohd. Yusof Kasim.
Idris berkata, dalam usaha memartabatkan budaya Melayu di kalangan masyarakat Malaysia, kementerian amat menggalakkan pihak luar untuk menganjurkan program berkaitan budaya Melayu seperti festival tersebut.
Penganjuran festival berkenaan budaya Melayu, jelasnya, dapat memberi kefahaman dan pengetahuan tentang kesenian dan kebudayaan Melayu khususnya kepada penuntut antarabangsa di universiti-universiti dalam negara.
"Di samping itu, ia dapat mencungkil dan mengenengahkan bakat di kalangan para mahasiswa menerusi pelbagai aktiviti yang telah disusun sepanjang program yang dianjurkan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Melayu UM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, sebagai menyahut seruan kerajaan dalam memartabatkan budaya Melayu, UM telah mengadakan program pertukaran pelajar ke Beijing dan Thailand.
Ketika ini katanya, seramai 17 pelajar dari Universiti Beijing telah ditempatkan di APM sejak Januari lalu bagi mengikuti program pembelajaran bahasa Melayu.
"Mereka akan mengikuti pembelajaran di sini selama satu semester, kemudian APM akan membawa pelajar dari sini pula untuk ditukarkan ke Universiti di Beijing bagi tempoh yang sama," jelas beliau.

Friday, February 27, 2009

Raja Tak Berdaya

Wahai Raja
Kau punya kuasa
Kau punya kekuatan
Kau dilindungi

Jutaan pihak memelukmu
DBP,GAPENA,PRIHATIN
Bermacam akta memimpinmu
152(1), 152(6), 17(1)

Tapi mengapa kau masih lesu?
Tunduk dan longlai di bumi sendiri
Ah! Aku sedar kini
Kau punya menteri yang lupa diri
Tiada identiti
Mementing harta lebih darimu

Raja
Kau sememangnya tak berdaya

yus_anakmelayu (25/2/2009)


p/s : nukilan sajak yang agak biasa. Saya tak pandai buat sajak =). Tapi itulah rasa hati saya tentang bagaimana kedudukan bahasa Melayu sekarang yang ditinggalkan oleh bangsanya sendiri.

Thursday, January 15, 2009

Istidraj

Januari 2009
hanya ada tidur di waktu siang
petang dengan futsall
dan malam dengan "maple"nya
ada wanita yang lalu
mulutku tiba-tiba berbunyi
mengganngu, mengganggu, dan mengganggu
buku pula hanya sekadar
sampah-sampah
yang menyerabutkan meja
bilik kuliah yang nyaman
itulah sebaik-baik bilik tidur
dimana solatku? dimana zikirku?
ahh, itu semua nanti dulu

April 2009
Gelisah sahabatku jadi bahan jenaka
takutkan peperiksaan lebih dari maut
ha!ha!ha!
rakan-rakan kusyuk di meja dengan buku
aku? lebih baik merenyukkan cadar tilam
satu hari telefon bimbit berbunyi
itu maknanya pancing mengena lagi
wanita idaman jatuh dalam pelukan
dimana solatku? dimana zikirku?
ahh, itu semua nanti dulu

Ogos 2009
Melihat rakanku melompat-lompat
sudah gilakah?
hanya kerana berjaya
menggenggam segulung ijazah
hei! aku pun dapat!
tiada kurangnya kau dan aku!
di satu sudut seorang wanita menangis
mengapa?
dia gagal walaupun siang dan malam
tanpa mengira waktu
dia berusaha
aku? berjaya!
usaha? tidak sama sekali!
buat pertama kali
Alhamdulillah meniti bibir
aku berjaya tanpa usaha
di mana solatku? dimana zikirku?