Thursday, April 30, 2009

Abah

Merenung luar jendela
Memerhati sepasang kasut buruk
Hitam pekat, berhabuk
Palitan lumpur pada kasut
Tanda memori panjang
Tak mungkin aku lupa
Si pemakainya
Manusia berhati mulia berjiwa besar
Dengan kasut buruk
Keluar menggalas harapan
Bawa pulang Kantung rezeki
Terima Kasih abah...
Al-Fatihah

yus_anakmelayu(1 May 2009)
Untuk seorang "kakak"

Wednesday, April 29, 2009

Kerana Aku Seorang Mahasiswa

Kerana aku seorang mahasiswa
Akanku ragut buah ketakutan
Dalam tangkai hati
Agar aku bisa jadi berani
Umpama saif yang sentiasa mara

Kerana aku seorang mahasiswa
Inginku rantai setan kemalasan
Yang merasuk benak akal
Agar aku bisa jadi sajid yang setia
Bersunyi-sunyi hanya untukNya

Kerana aku seorang mahasiswa
Pasti akanku lemaskan rasa ego
Yang berenang pada kerendahan hati
Agar aku bisa jadi pemimpin
Menelusur jiwa marhaen

Kerana aku seorang mahasiswa
Biarlah aku tentukan sendiri
Lima tahun lagi siapa aku ini
Seorang petani atau penguasa
Seorang guru atau tentera
Yang pasti aku mahasiswa punya rasa
Untuk jadi orang berguna

Tuesday, April 28, 2009

"Ma"

Assalamualaikum... Entah mengapa apabila membaca sajak "Milah Anak Maksum" karya Prof. Rahman Shaari, hati aku menangis. Bagi aku, mana-mana yang bernama manusia pasti akan tersentuh bila bicara soal ibu. "Ma", izam mintak ampun dan maaf kalau apa yang izam lakukan selama izam hidup telah memalit aib pada "Ma" dan "Pa". Izam mintak ampun kalau izam tak mampu jadi anak yang terbaik sebagaimana yang "Ma" impikan. Izam mintak ampun kalau izam tak dapat tatap wajah "Ma" setiap hari. Tapi "Ma", percayalah... izam tak pernah lupa walau sekalipun untuk mendoakan kesejahteraan "Ma" dan "Pa" setiap kali izam sujud padaNya. Percayalah, Izam tak pernah sekalipun lupa untuk mencium gambar "Ma" sebelum tidur dan sebelum ke mana-mana. Percayalah, izam dah cuba untuk jadi anak yang terbaik, yang sntiasa ingat pesan "Ma". Izam dah bertekad dalam hati, izam nak bela, nak jaga "Ma" dan "Pa" bila izam dah kerja nanti. Izam nak cium "Ma" dan "Pa" hari-hari setiap kali izam pergi dan pulang dari kerja. Izam nak lakukan segala-galanya untuk "Ma". "Ma", izam sayang akan "Ma". Terima kasih "Ma" dan... Selamat Hari Ibu untuk "Ma"ku, Fatimah Binti Osman.

Bila Kerusi Mula Bersuara

Andai kerusi mampu bersuara
Pasti laungan bergema
Jangan kaucuba berada di atasku!
Andai bangsa kau rogol
Bahasa kau lacurkan
Agama kau lelong

Andai kerusi mampu bersuara
Laungan bergema lagi
Jangan kau menghampiriku!
Tanganmu bersalut rasuah
Matamu mengalir maksiat
Telingamu bertindik fitnah

Andai Kerusi mampu bersuara
Jeritan kian memuncak
Kau bukan untukku!
Amanah kau ragut
Keadilan kau cabut
Keamanan kau pagut

Andai kerusi mampu bersuara
Hilai tangis pasti bersama
Mengapa kau masih berdegil?
Inginkan aku sedang kau kotor
Perlukan aku sedang kau khianat
Aku berjanji
Selagi bahasa kau abai
selagi bangsa kau gulai
Selagi Agama kau salai
Selagi itu aku tak merelakan

yus_anakmelayu (11 april 2009)

Suara Bahasa

Keroyok semua ke satu matlamat
Apa yang ada?
Menarik ribuan manusia
Jalan-jalan jadi sesak
Aku ditengah-tengah mereka!

Satu jam sebelumnya
Sogo seperti biasa
Punya pelanggan dan peniaga
Juga penghuni kaki lima

kemudian tiba gergasi biru
Berperisai menggerunkan
Membuncah hatiku
Bimbang jadi sasaran
Orang sebelah ikut gundah

Entah dari mana
Laungan takbir bergema
Allahuakhbar! Allahuakhbar!
Pelik tapi benar
Pelanggan Sogo jadi pejuang
Sama sama bergerak
Sama-sama sepakat
Ke satu matlamat
Masjid Negara kita berjumpa!

Pada mula aku hanya semut
Kini aku raksasa
Berani mengaplus ketakutan
Pengecut menjadi pahlawan!

Semua gara-gara bahasa
Penentu hidup mahawangsa
Tua, muda, miskin, kaya
Satu suara,seirama, senada
Parasit budaya perlu diseka

Aku? Aku bangga
Aku juga pencipta sejarah bangsa!

yus_anakmelayu (15 April 2009)
Mengimbau kenangan manis 7 Mac 2009
disembur pemedih mata =)

Abuh Hati

Abuh hati mengingat peristiwa semalam
Saat bangsa dipijak kaki petualang
Pemimpin pengabur wang marhaen
Pemimpin abar kemajuan murbawan
Pemimpin virus alamiat jelata

Abuh hati mengingat peristiwa semalam
Saat Islam jadi dagangan
Agamawan berbaju kemewahan
Agamawan berkasut kesenangan
Agamawan bercelana pembohongan

Abuh hati mengingat peristiwa semalam
Saat bahasa dinafi hak dan nilai
Pejuang bahasa dipenggal suaranya
Pejuang bahasa ditetak kuasanya
Pejuang bahasa disekat langkahnya

Abuh hati mengingat peristiwa semalam
Tidak seperti hari-hari sebelumnya
Tidak lagi seperti zaman bahari
Ketika Melayu bergelar mahawangsa
Alangkah indahnya jika aku jadi sejarah
Hidup di zaman purbakala
Biar tidak berteman komputer
Asal bangsa diangkat mulia

yus_anakmelayu (29 April 2009 - 12:17 - Dayasari)

Monday, April 6, 2009

???

antara kayu dan emas
kita sentiasa mengejar emas
kayu? Ah! kering tak bernilai
Biarkan saja di tepi rumah
atau di celah longkang

Emas! Emas! Emas!
Tiada siapa yang menolak kesenangan
kemilau emas kemilau jualah senyumku
tak mungkin berganti kedudukanmu

Kayu kau dilupakan
Teringat zaman dulu kala
Tika aku dibesarkan
Sebutir nasi yang masuk
hasil dari kekeringanmu membakar
membakar, mendidih, dan menanak.
Teringat ketika malam
Engkau aku bakar
Semua itu dulu
Aku kini bukan dulu
Aku tak perlu semua itu
Mengenang kepayahan bukan caraku
Bukankah gembira itu sentiasa menunggu?